Jika disingkap kembali sejarah politik di negara ini, Pakatan Harapan merupakan versi keempat pakatan pembangkang sejak tahun 1990.
Bermula dengan Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah, disusuli dengan Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, semuanya gagal menghalang Barisan Nasional daripada membentuk Kerajaan Persekutuan negara ini.
Jadi, sejauh manakah perjanjian yang bakal ditandatangani pada Sabtu ini mampu menjadikan Pakatan Harapan sebagai satu kesatuan parti politik pembangkang yang mampan berbanding yang sebelumnya?
Penganalisis politik berpendapat gabungan parti ini mampu berjaya hanya jika setiap satunya sanggup mengenepikan agenda masing-masing demi kepentingan bersama.
Melihat kepada pengumuman Buku Jingga pada 2010, iaitu dasar bersama Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, DAP dan Pas ketika itu, menggariskan empat perkara utama iaitu demokrasi yang telus, pemacuan ekonomi berprestasi tinggi, keadilan sosial bagi rakyat serta keadilan dalam hubungan antara kerajaan persekutuan dan negeri.
Namun, kemahuan Pas untuk melaksanakan hukum hudud menjadi antara sebab utama kerjasama Pakatan Rakyat berakhir pada 2015. Isu yang agak sama juga menjadi punca keretakan Gagasan Rakyat dan juga Barisan Alternatif sebelum ini.
Oleh itu, perjanjian baharu ini dilihat usaha Pakatan Harapan untuk memantapkan polisi kerjasama antara ahli-ahlinya.
Ini termasuk meletakkan prinsip dan kaedah membuat keputusan, penyelesaian pertikaian, cara pengagihan kerusi dalam pilihan raya dan paling penting, tindakan sekiranya perjanjian ini dilanggar mana-mana parti.
Sejauh manakah Pakatan Harapan boleh memberi impak dalam arena politik negara?
Tweet |
0 comments:
Post a Comment