Kerajaan DAP Pulau Pinang diingatkan agar tidak bersikap pilih kasih dengan hanya menyasarkan peniaga Melayu dan India Muslim sahaja ketika menguat kuasa undang-undang berkaitan penjaja jalanan tidak berlesen.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jelutong, Jasmin Noordin berkata, ketika ini wujud keadaan seolah-olah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bertindak tegas termasuk merampas perkakas perniagaan milik kaum Melayu sahaja manakala penjaja jalanan kaum lain tidak dikenakan tindakan.
Ujarnya, dalam soal menguatkuasakan undang-undang, MBPP perlu lebih bertimbang rasa dan berlaku adil.
“Ini kerana penjaja jalanan berkenaan terutama yang menjual makanan turut menyumbang kepada kerancakan aktiviti pelancongan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pakaian dan alat tulis kepada 100 murid sekolah rendah di beberapa kawasan di Jelutong di sini, hari ini.
Semalam, seorang peniaga roti canai popular di Jalan Transfer di sini, melahirkan rasa kecewa selepas penguat kuasa MBPP menyita mejanya ketika tempat itu dipenuhi pelanggan termasuk pelancong malahan gambar berkenaan turut menjadi viral di Internet.
Mengulas lanjut, Jasmin berkata, sikap pilih kasih MBPP itu boleh dilihat apabila mereka tidak mengambil tindakan terhadap penjaja jalanan di Jalan Dato Keramat yang turut menyebabkan kesesakan lalu-lintas.
“Keadaan sama juga berlaku di Lebuh Chulia apabila aktiviti penjaja jalanan telah melambatkan aliran trafik dan mendatangkan rungutan orang ramai namun tiada tindakan diambil,” katanya.
Tweet |
0 comments:
Post a Comment